ILMU ITU TIADA TEPIANNYA ILMU ITU CAHAYA

GURU PENDIDIKAN ISLAM SILA MASUK LAMAN ePORTAL PENDIDIKAN ISLAM DARI SAYA AHMADAN BIN GHAZALI

Jumat, 10 Juli 2009

Pertandingan Anak Perak


Seramai 3 Pelajar dari kumpulan INSAN telah siap sedia membina laman blog dan Gmail yang diketuai oleh Tuan Haji Ahmadan Ghazali dalam delegasi menyahut cabaran Juara Pertandingan ICT Anjuran UPSI Negeri Perak.
Walaupun Kekangan masa terlalu banyak disini dapat disisipkan Email ahli INSAN:
1-mshamil93@gmail.com
2-fardausaid93@gmail.com
3-umairmuar93@gmail.com

Tajuk yang dipilih ialah dari M/P Tasawwur Islam Tingkatan 4 Bab 3:INSAN

Kejadian insan
Insan kata nama yang datang dari “nisyan”, iaitu kelupaan, kerana padanya ada sifat lupa selepas ia ingat. Maka datanglah wahyu dan agama Islam untuk memberi peringatan kepadanya supaya ia ingat kembali kedudukanya sebagai hamba Tuhan dan khalifahNya. Maka wahyu yang datang untuk “mengingatkan kembali” hakikat kedudukannya itu dinamakan “al-dhikrul-hakim”, iaitu Peringatan Yang Penuh dengan Hikmah Kebijaksanaan. Atau ada pendapat yang menyatakan bahawa kata nama bagi dirinya itu datang dari ”uns”, kejinakan, iaitu kejinakan dengan Tuhan. Maka insan yang sebenarnya yang kekal dengfan kemanusiaannya ialah yang jinak dengan Tuhan yang “liar” denganNya adalah orang yang telah “meletakkan jawatan”nya menjadi manusia.

Tetapi oleh kerana kedudukan sebagai manusia itu tidak boleh diletakkan “jawatannya”, ia menukarkan kedudukannya kepada kedudukan menjadi “khalifah” Syaitan. Dijauhkan Allah. Maka didatangkan agama untuk mentautkannya kembali kepada Tuhan melalui akalnya, yang datang dari kata kerja “aqala” yang memberi pengertian “mengikat” iaitu “mengikatkannya kembali” kepada Tuhannya. Maka fungsi akal yang tertinggi ialah untuk “mengikat kembali” insan ini kepada Tuhan Yang menjadikannya.
Kejadian insan ialah terdiri daripada jasmaninya, disebut sebagai “badan”, atau “jasad” terdiri daripada unsur-unsur alam kebumian, "the elements of the earth". Dengan itu jadilah ianya makhluk yang bertubuh badan dengan tuntutan-tuntutannya yang perlu ditunaikan dalam hubungan dengan kejadian itu.
Ada padanya pula “roh”, yang datang dari sisi Tuhan, dari alam Perintah Tuhan, “Alam al-Amr”. Ini yang membentukan insaniah baginya. Dalam ayat yang bermaksud “dan Aku tiupkan ke dalamnya sesuatu dari Roh ciptaanKu, maka sujudlah kamu wahai para malaikat kepadanya sebagai sujud penghormatan” maka sujudlah para malaikat melainkan Iblis. Kemuliaan insan sebagai khalifah Tuhan dan hambaNya datang daripada “hembusan Roh dari ciptaan Tuhan” ini. Kewujudan roh dari alam Amr inilah yang menjadikannya boleh memahami keimanan, kebenaran, dan lain-lain hakikat dalam ajaran agama. Kewujudan roh padanya menuntut atasnya amalan-anmalan rohaniah yang menyegar dan menguatkannya dengan keimanan, sembahyang, zikir, tafakur, muraqabah atau penelitian rohani dan seterusnya.

Insan mempunyai nafs dalam erti “jiwa” dalam Bahasa Melayu atau “soul” dalam bahasa Inggeris. Ianya berupa diri insan yang batin yang merupakan hakikat dirinya.kalau ini menjadi baik dari segi rohani dan akhlak, baiklah peribadinya, kalau rosak maka rosaklah seluruh dirinya.
Dalam Qur’an terdapat kenyataan yang bermaksud “Demi jiwa serta penyempurnaannya; maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya. Maka sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan jiwanya dan rugi atau gagallah orang yang mengotorkannya” (Surah ash-Shams: Ayat 7-10). Jiwa itu juga disebutkan sebagai hati sebagaimana yang ada dalam "Ihya" oleh Imam al-Ghazali rd.
Dalam hadith terdapat kenyataan yang bermaksud “Tidakkah sesungguhnya ada dalam diri anak Adam seketul daging - dari segi rohaninya selain daripada seketul daging segi fisikalnya - apabila baik maka baiklah seluruh jasad atau dirinya dan apabila rosak maka rosaklah seluruh dirinya, iaitu hati, yang merujuk kepada jiwanya”.
Maka ajaran agama datang dengan jalan-jalan untuk diikuti oleh manusia supaya ia mencapai kedudukan sebagai insan yang sempurna melalui pembersihan jiwanya daripada sifat-sifat yang kotor atau jahat dan keji dari segi akhlaknya. Ini terdapat dalam faham nilai atau aksiologi Ahlis-Sunnah wal-jamaah sebagaimana yang boleh dilihat dalam teks-teks yang muktabar dalam bidang ini seperti “Ihya’ ‘Ulumiddin” oleh Imam al-Ghazali rd dalam bahasa Arab dan “Siyar as-Salikin” karangan Syaikh ‘Abd al-Samad al-Falimbani rh dalam Bahasa Melayu.

Dalam diri insan, dengan adanya “roh” yang ditiupkan itu adalah akal padanya. Akal itu menyebabkan insan boleh mengenal apa itu kebenaran, apa itu kepalsuan, apa itu kebaikan dan apa itu kejahatan. Dengan adanya neraca pengenal - mudrik - itu maka insan mampu boleh mengenal ketegori-kategori ilmu yang berupa potensi yang datang dari maksud ayat tentang kejadian Adam bahawa - maksudnya - “Allah mengajarkan kepada Adam segala nama.” Maka datanglah agama membawa kebenaran-kebenaran untuk menjadi “isi” bagi akal ini. Dan jalan mengenal kebenaran ini atau jalan ilmu ini bermula dengan kebenaran yang tertinggi yang bermakna “Bahawa tidak ada tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah” yang merupakan seluruh kebenaran tentang Tuhan dan “bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruh Allah” yang merupakan seluruh kebenaran tentang kehidupan dan alam seluruhnya.
Dengan memahami kebenaran ini yang menjadi dasar bagi seluruh kebenaran tentang kehidupan dan hidup dengan menghayati semua ini dengan segala pen'detail'an yang timbul daripadanya maka insan mencapai kesempurnaan pada diri dan kehidupannya dan bahagialah ia di dunia dan akhirat dengan mencapai “hasanah” pada kedua-duanya. Allahumma amin.
Insan akan mencapai kesempurnaannya - dengan izin Ilahi - bila ia memahami faham alam dan kehidupan yang betul, dalam falsafah dipanggil “worldview”, faham ilmu atau epistemologi yang tepat dan faham nilai atau aksiologi yang benar dan betul. Pemahaman perkara yang tiga yang pokok ini, keyakinan terhadapnya dan penghayatannya membawa kepada keselamatan dan kesempurnaan.
1. Faham alam atau kehidupan:
Ertinya ia memahami alam ini dengan semua manifestasinya bermula dari alam galian sampai kepada haiwan, manusia, dan alam kerohanian dengan arash dan kursinya serta sekalian malaikatnya dengan syurga dan nerakanya adalah ciptaan Allah yang menunjukkan kekuasaan, sifat-sifat dan perbuatan-perbuatanNya.

Allah dengan Sifat-SifatNya, dengan Adanya, SediakalaNya, KekalNya, Bersalahan dengan makhlukNya, Berdiri SendiriNya, KeesaanNya, dengan hayatNya, IlmuNya, Qudrat atau KuasaNya, KehendakNya, MendengarNya, MelihatNya, Berkata-KataNya.Dengan Keadaan hayatNya, Keadaan BerilmuNya, Keadaan BerkuasaNya, Keadaan BerkehendakNya, Keadaan mendengarNya, Keadaan melihatNya, dan Keadaan Berkata-kataNya.
Ia dengan Sifat Maha PenciptaNya, Maha MenjagaNya, Mengadakan dan MentiadakanNya. Sifat-Sifat Jalal atau Maha IndahNya, Maha Hebat atau JalalNya, Maha Senmpurna atau KamalNya.
Ia menjadikan segalanya yang membayangkan sifat-sifatNya yang Maha Indah, Maha Hebat dan Maha SempurnaNya.
Alam dijadikan untuk berkhidmat bagi kepentingan manusia sebagai khalifah dan hambaNya. Alam sebagai tempat ujian manusia dan memberilatihan kehidupan yang sempurna. Insan seolah-olah seperti pedang dan alam sebagai batu pengasahnya, sebagaimana yang ada tersebut dalam Yavid Namah oleh Iqbal rh.
Insan dijadikan sebagai khalifah Tuhan supaya ia mengimarahkan alam dengan menjalankan perintah-perintahNya dan membina tamadun berdasarkan kepada prinsip-prinsip dan nilai-nilaiNya. Diutuskannya para rasul dan nabi sebagai insan-insan yang sempurna bagi mennyampaikan kebenaran-kebenaran dan menjalankannya dalam kehidupan umat manusia. Selamat dan berbahagialah manusia yang menerimanya dan binasalah manusia yang menolaknya.
Alam benda ini dengan segala manifestasinya akan berakhir dan akan datang alam yang kekal abadi dengan dua keabadiannya, syurga bagi mereka yang berbahagia dan neraka, dijauhkan Allah, bagi mereka yang celaka. Di sana berlakulah hisab amalan yang menentukan kedudukan manusia yang terakhir.
Maka hayat insan berakhir dengan keabadian, dan ia diciptakan untuk keabadian bukan untuk kemusnahan. Walau apapun yang diajarkan oleh pemikiran pascamodenisme dengan penafian meta-naratifnya, penapian nilai mutlaknya dan pengisbatan nilai nisbinya, dengan insan biologisnya sahaja - yang bukan lagi insan sebenarnya - dengan pengaburan antara imej dan realitinya - kebenaran hakiki ini akan kekal dan terus menerus ada dan tidak akan hilang selagi insan adalah insan. Vincit omnia veritas. Kebenaran mutlak akan memberi kata putus akhirnya.

Faham alam inilah yang menjadi rangka kehidupan insan di bumi dengan peradaban dan kehidupannya. Inilah yang menentukan budayanya, sebagai budaya adalah ”lived world-view” atau faham alam yang dihayati.



2. Faham nilai

Yang menyelamatkan manusia dan menjayakannya membina peribadi insan kamil dalam erti yang disebutkan ialah faham nilai yang sebenarnya. Nilai ialah prinsip atau hakikat yang menentukan harga atau nilai dan makna bagi sesuatu. Dalam perekonomian penentu nilai ialah emas atau apa yang ditentukan di dalam bidangnya. Dalam kehidupan akhlak manusia yang menentukan nilai manusia dan harga diri dan amal serta sikapnya ialah prinsip-prinsip tertentu seperti kebenaran, kebaikan, kesetiaan, keadilan, persaudaraan, ketulusan dan keikhlasan, kesungguhan dalam kebenaran, persaudaraan, keprihatinan, kerahiman, dan yang sepertinya
Ada nilai-nilai terakhir - ultimate values - dan ada nilai-nilai yang berupa wasilah atau nilai instrumental. Nilai iman adalah terakhir, demikian nilai kebenaran, kasih, juga kebahagiaan yang hakiki - berbeza daripada keseronokan (pleasure). Nilai-nilai kesungguhan, ketertiban dan disiplin, menjaga masa adalah nilai-nilai wasiah demi mencapai yang lain yang lebih tinggi.
Akhirnya, semua nilai dan prinsip berpunca bagi si mukmin dari al-Asma’ al-Husna yang merupakan kemuncak segala keindahan, kehebatan dan kesempurnaan. Manusia dituntut mewujudkan nilai-nilai yang berpunca dari al-asma itu dalam dirinya setakat yang termampu olehnya sebagai hamba Tuhan dan khalifahNya.

Bila nama Allah adalah al-Haq, Kebenaran, maka ia mesti menjadikan kebenaran matlamat hidupnya dan peribadinya. Bila Allah al-‘Alim, Maha Mengetahui, ia mesti berusaha supaya ia menjadi mu’min yang bersifat dengan sifat ilmu dan bukan jahil. Bila Allah adalah al-‘Adlu, ia mesti menjadi seorang mukmin yang adil yang meletakkan sesuatu pada tempatnya berdasaran ilmu dan adab. Bila Allah ar-Rahim, Maha Mengasihani, ia mesti bersifat kasihan belas kepada makhluk Allah.
Bila Allah al-Latif, Maha Lemah Lembut dan mengetahui yang halus-halus dan rumit-rumit, si mukmin mesti membina peribadi yang bersifat dengan sifat lemah lembut dan berilmu tentang apa-apa yang halus-halus dan rumit dalam ilmu setakat yang terdaya olehnya dengan Izin Allah. Bila Allah al-Qawiyy, Maha Perkuasa, Berkuasa, ia mesti membina peribadinya supaya berperibadi kuat dan teguh dari segi imannya, yakinnya, akhlaknya, inteleknya, iradat dan azamnya, dan jangan tunduk kepada Iblis dan kejahilan. Demikian seterusnya. Demikian pula dalam hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Hidup si mukmin mesti berpaksikan Allah. He must be God-centred.
Mereka yang terbentuk peribadinya mengikut nilai yang betul dan tepat terdiri daripada anbiya', siddiqin, shuhada', dan salihin- para nabi, ahli kebenaran, mereka yang syahid dan orang-orang yang salih yang hidupnya mengikut ajaran Ilahi dan nilai-nilai yang diajarkanNya. Akhirnya nilai-nilai yang mulia dan murni itu menjadi “mode of being” yang sempurna.



3. Faham ilmu atau Epistemologi Sunni:

Apa itu ilmu? Pada al-Baqqillani rh dalam at-Tamhid ilmu ialah mengetahui apa yang maklum mengikut hakikat yang sebenarnya. Mengetahui yang maklum mengikut yang sebenarnya itulah ilmu. Kalau tidak mengikut yang sebenarnya itu kejahilan. Dan mengetahui itu hendaklah dengan berbukti dan dalil. Dan ianya jangan hanya sangkaan, sebab sangkaan bukan bertaraf ilmu.
Dari mana punca ilmu? Punca tertinggi ilmu ialah wahyu, kenabian (nubuwwah), ilham yang murni (bagi mereka yang arif), pengamatan akal, sensasi dari pancaindera.
Sensasi dari pancaindera perlu dipertimbangkan dengan akal yang sejahtera dan dibantu dengan percubaan atau penyiasatan. Punca ilmu ialah riwayat yang mutawatir yang puncanya terlalu amat banyak sehingga tidak mungkin ianya tersilap.
Ilmu tentang fakta-fakta alam lahir berdasarkan kepada pemerhatian pencaindera, pencerapan, pengecaman, percubaan, dan penganalisaan akal fikiran serta penghimpunan data-datanya. Bermula dengan data menjadi sistem ilmu, dengan huraian-huraian sistemnya, dari ilmu meningkat kepada kebijaksanaan (wisdom) yang berupa kebenaran yang kekal teruji yang betul dan benar dan berfaedah selamanya.
Ilmu tentang alam yang mengatasi alam lahir berdasarkan kepada wahyu, nubuwwah, dan bagi mereka yang arif berdasarkan kepada penyaksian mata hati dari kurnia Ilahi.

Apakah matlamat atau tujuan ilmu? Ilmu tentang Tuhan ialah untuk menjadikan insan mengenal Tuhannya, kemudian meyakininya sebagai iman yang tidak ada syak dan ragu lagi, kemudian mungkin dengan kurnia ia mendapat penyaksian dengan pemandangan matahatinya (al-basirah). Ilmu ini menjamin kebahagian hakiki manusia dan berupa tempat terakhir baginya.

Ilmu tentang akhirat menjadikan manusia yakin tentangnya dan memberi matlamat dan nilai terakhir hidupnya, dan kemudian mungkin ia dikurniakan penyaksian batin tentang kebenarannya dengan al-basirahnya; ianya menjadi peta tempat penghabisan yang dituju dalam hidupnya. Tempat kembali terakhir baginya (al-ma’ad). Segala sesuatu kembali kepada nilai terakhirnya - ultimate value - berhubungan dengan alam sempurna ini.
Ilmu tentang tugas-tugas rohaniahnya supaya ia menjalankan pengabdian rohaniah terhadap Tuhannya yang menjadikan semuanya terpusat kepada pusat kerohanannya, sebagaimana yang dinyatakan dalam doa iftitah bermaksud ”Sesungguhnya sembahyangku, pengorbananku, hidupku dan matiku adalah bagi Allah Tuhan yang mentadbir sekelian alam”. Dalam perspektif ini seluruh aktiviti hidup menjadi lagu merdu pengabdian yang membahagiakan dan menyelamatkan.

Ilmu tentang nilai-nilai utama (al-fada’il) bagaimana kelebihan-kelebihan sifat-sifat itu, apa faedah-faedahnya, apa peranannya dalam menentukan kesempurnaan manusia, apa sahamnya dalam menentukan kebahagian manusia, apa kebinasaan lawannya, demikian seterusnya, sejauh mana ianya merupakan pengembalian kepada fitrah asal manusia, akhirnya ianya menimbulkan hal bagi diri, dan kemudia membuahkan amalan yang baik.
Akhirnya ianya menjadi mode of being yang sempurna bagi insan yang sempurna. Di situ sifat-sifat itu menjadi cara hidup sebati dengannya sebagaimana sifat terbang pada burung di angkasa dan sifat berenang pada ikan dalam air. Maka tercapailah risalah kedatangan Nabi s.a.w. ke dunia "untuk menyempurnakan akhlak yang mulia bagi umat manusia". Maka sifat benar misalnya bukan hanya diketahui sebagai ilmu dengan kelebihan-kelebihannya, tetapi dicapai dan dialami nilai kebenaran itu dalam dirinya, jiwa dan akal serta iradatnya; dengan itu ia mengamalkan sifat benar dalam perbuatannya. Dengan itu kebenaran menjadi mode of being bagi dirinya.

Ilmu dan maklumat serta kebijaksanaan tentang hidup lahir dalam hubungan dengan sejarah, bahasa, kehidupan kolektif, data saintifik yang berfaedah, adalah pembantu dalam menolong manusia hidup dengan selesa dan bermaruah di dunia dalam membina peradaban yang “God centred” sebagai khalifahNya dan hambaNya di dunia. Pembangunan yang berdasarkan kepada prinsip dan nilai-nilai yang “God centred” - terpusat kepada Tuhan akan menjamin berlakunya “sustainable development” atau pembangunan yang mampu meneruskan keberadaan alam sekitar dengan tenaga-tenaga dan kekayaannya dalam proses membangunan itu.
Dalam pembangunan demikian alam bukan hanya menjadi bahan untuk kegunaan manusia tetapi terdapat ‘ibrah padanya yang ia mendapat pengajaran rohani dan kebenaran daripadanya.

Sifat-sifat manusia sempurna:

Sifat-sifatnya terdiri daripada beberapa ciri:

Keimanan

Ketaqwaan

Keadaban

Keilmuan

Kemahiran

Ketertiban

Kegigihan dalam kebaikan dan kebenaran

Persaudaraan

Persepakatan dalam hidup

Perpaduan dalam umah

Ciri-ciri inilah yang menjamin manusia menjadi sempurna dan mencapai hasanah dalam dunia dan hasanah dalam akhirat.

Falsafah Penciptaan Manusia Menurut Islam

MENURUT ISLAM

Orang Islam meyakini rukun iman yang enam, umatnya mengakui bahwa Al Qur’an adalah satu-satunya literatur yang paling benar dan bersifat global bagi ilmu pengetahuan.

Komponen dan Proses Kejadian Manusia


Terdapat banyak surah di dalam al-Quran yang menghuraikan tentang penciptaan manusia. Didapati kebanyakan ayat menerangkan bahawa kejadian manusia adalah daripada tanah ( turab ).


Proses kejadian manusia ini melalui beberapa peringkat dengan merujuk kepada beberapa ayat yang bersesuaian.



Pertama:Peringkat Saripati Tanah( سلالة من طين )


Pada peringkat ini didapati bahawa Allah S.W.T melakukan beberapa penyaringan debu tanah. Proses ini bertujuan untuk mendapatkan saripati tanah (sulālat min ţīn) yang bersih dan amat sesuai untuk dijadikan bahan sebagai salah satu unsur daripada penciptaan manusia. Ini menunjukkan bahawa tanah yang digunakan ini telah melalui proses penyaringan dan bukan daripada tanah biasa sebagaimana yang manausia pada hari ini fikirkan. Ini amat bersesuaian dengan kemuliaan yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada manusia. Dari aspek lain dipaparkan juga adalah kebesaran Allah S.W.T dalam penciptaan makhluqnya dan Dia sebagai Khāliqnya.


Manakala Dr. Maurice Bucaille menghuraikan dengan merujuk kepada Surah al-Furqan: 54 bahawa keturunan manusia juga berasal daripada air iaitu saripati sperma atau yang dipanggil secara sciencetific sebagai spermatozoon . Oleh itu beliau melihat saripati tanah yang dikemukakan di atas hendaklah dirujuk bersama pelbagai kompenen lain yang merangkumi saripati tanah dan saripati air yang menjadi elemen terpenting dalam penciptaan manusia.



Kedua: Peringkat Tanah Melakat (طين لازب )


Pada peringkat ini dikenali sebagai peringkat tanah melekat. Sebagaimana diketahui tanah liat pada dasarnya mempunyai sifat melekat. Al-Qurtubiyy menghuraikan bahawa pada peringkat ini keadaan tanah melakat atau menempel di antara satu sama lain. Manalaka selepas itu tanah ini akan menjadi tanah yang keras .Pada peringkat ini Al-Qurtubiyy juga menerangkan di dalam tafsirnya bahawa manusia pertama iaitu yang dikaitkan dengan Adam dikatakan kekal sebagai satu lembaga yang berbentuk tanah liat. Selain itu tempuh ia berada dalam keadaan ini adalah selama empat puluh tahun sehingga sifat fizikalnya berubah menjadi keras dan kering .



Ketiga: Peringkat Tanah Berbau (حماء مسنون)


Mengikut tafsiran Dr. Maurice Bucaille حماء مسنون diertikan sebagai lumpur atau tanah berorganik dan tidak tertumpu kepada pengertian lain seperti lumpur yang berubah-ubah yang berwarna hitam serta mempunyai bau tersendiri . Ini adalah disebabkan proses penyebatian di anatara tanah dan air telah berlaku.



Keempat: Peringkat Tanah Keras ( الصلصال)


Perkataan ini tidak sempurna jika perumpamaannya tidak dijelaskan bersama iaitu كاالفخار yang membawa erti seperti tembikar. Maka jelas bahawa pada peringkat ini dari aspek fizikalnya manusia yang ingin diciptakan oleh Allah S.W.T berada dalam keadaan yang keras. Abū Hasan al-Tibrisī menerangkan bahawa dengan fizikal yang keras, ia dapat mengeluarkan dentingan bunyi yang gemerincing serta berulang-ulang di udara seperti suara besi yang dipukul angin . Pada peringkat ini menunjukkan bahawa masa untuk Adam menjadi lembaga manusia yang lengkap sudah tiba. Pada peringkat ini juga ianya dilihat sebagai peringkat terakhir penciptaan manusia dari aspek fizikalnya termasuk tiga peringkat yang terawal sebagaimana yang diterangkan sebelum ini.



Kelima: Peringkat Peniupan Roh


Peringkat yang kelima ini menunjukkan proses penciptaan manusia pertama(Adam) dari aspek spiritual, setelah aspek fizikalnya telah lengkap hingga ke tahap menjadi satu lembaga. Di dalam kitab Qisās al-Ambiyā’ penerangan tentang proses penciptaan manusia yang seterusnya dipaparkan dengan amat jelas. Dikatakan Allah S.W.T meniup roh ke dalam diri Adam melalui kepala dan selepas itu malaikat dengan perintah Allah telah mengajar Adam untuk memuji Allah iaitu (الحمد لله ) lalu dia menyebut. Apabila roh memasuki bahagian matanya, Adam telah dapat melihat denga jelas buah-buah yang terdapat di dalam syurga. Selepas itu apabila sampai roh ke bahagi kerongkong Adam ingin makan. Dan sebelum roh sampai kebahagian kaki, maka Adam segera ingin menjankau buah tersebut.


Di sini terdapat dua persoalan yang dapat dijelaskan. Pertama, jika merujuk kepada huraian di atas bahawa proses peniupan roh ke dalam jasad Adam berlaku di dalam syurga maka boleh dibuat kesimpulan bahawa tempat penciptaan manusia pertama(Adam) adalah berlaku di dalam syurga. Ini adalah bertepatan dengan pendapat yang menyatakan Adam dicipta di syurga Ma’wa iaitu tempat kediaman kepada orang-orang sāleh sepertimana yang dihuraikan di dalam kitab Hayāt Ādam .


Persoalan kedua adalah berkenaan dengan sikap gopoh Adam dam proses penyempurnaan penciptaannya. Ia dapat dilihat dalam sikap manusia pada hari ini yang suka melaksanakan sesuatu perkara dalam keadaan yang tergesa-gesa atau inginkan sesuatu itu dalam kadar yang segera. Maka dengan berakhir proses peniupan roh ini sempurnalah kejadian Adam iaitu sebagai manusia pertama yang diciptakan oleh Allah S.W.T. Jika dilihat dengan teliti proses penciptaan manusia pertama yang dipaparkan di dalam al-Quran amat teliti dan huraiannya adalah bersifat kronologi.

Hasil dapatan ilmu INSAN ini dapatlah kita mengenali diri kita dalam situasi sebenar .
Kehidupan yang dikurniakan olah Allah swt amat berharga pada setiap umat manusia.TETAPI......Apa yang kita lihat dan terpampang didada-dada akhbar gejala yang memang sia-sia dilakukan oleh insan yang tidak bersyukur...Lihatlah dunia makin panas panas dengan gelora maksiat berleluasa,malapetaka bersilih-ganti,penyakit baru muncul setiap tahun ...dimanakah kita dalam menghadapi ujian ini ...Hanya doa kupohon agar dibuka hidayah kepada yang lalai dan berhati batu.
INGAT INSAN YANG BERTAQWA SAHAJALAH YANG BERJAYA DALAM HIDUP

TEKAN SELISIH TANPA JARI ,TERIMA KASIH JUMPA LAGI.

SALAM HORMAT DARI SAYA HAJI AHMADAN GHAZALI SMK MATANG