Rabu, 15 Februari 2012
مولد الرسول صلى الله عليه وسلام
selawatlah dan salam selalu
Risalah Sambutan Maulidur Rasul SAW
Maulidur Rasul adalah hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad iaitu pada hari Isnin, 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571 (pendapat termasyhur Mohd Ibnu Ishaq Naisaburi, di kebanyakan ulama' dan dipegangi oleh ahli Makkah). Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah SWT.
Setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad SAW dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul. Betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad SAW, kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal soleh.
MAULIDURRASUL DENGAN DALIL2 YANG NYATA.
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam keatas Saiyidina Muhammad, Keluarga dan Sahabatnya sekelian…
DALIL SUNAT MENYAMBUT MAULIDURRASUL DI SISI ULAMA’ AHLI SUNNAH.
1. Merayakan hari kelahiran Nabi SAW termasuk daripada perkara yang membesarkan dan memuliakan baginda. Dijanjikan kejayaan dunia dan akhirat bagi mereka yang menyambutnya. Firman Allah Taala:
“Maka mereka yang beriman dengannya (Muhammad), membesarkannya dan membantunya dan mengikuti cahaya (Al-Qur’an) yang diturunkan bersamanya. Mereka itulah yang mendapat kejayaan.” (Surah Al-A’araf, ayat 157).
2. Firman Allah Taala, : “Sesiapa yang membesarkan tanda2 Allah, maka membesarkan itu ialah setengah daripada menjunjung perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.”( Al-Haj:32 )
Dimaksudkan dengan “tanda2 Allah” (Sya’airallah) pada umum ayat ini, iaitu setiap perkara yang dijadikan sebagai tanda atau alamat bagi mentaati Allah. Sebesar2 tanda agama ialah Nabi Muhammad SAW dan menyambut Maulidurrasul itu adalah membesarkan tanda Allah, termasuk dalam menjunjung perintah-Nya.
3. Meriwayat Imam Bukhari dalam Sahihnya, begitu juga Ismaili dan Abdul Razak, Bahawa diringankan azab keatas Abi Lahab pada hari isnin kerana memerdekakan ‘Suwaibah’ iaitu hambanya yang menceritakan khabar gembira tentang kelahiran Nabi SAW.
Hadis ini menunjukkan bahawa:
i) Sesiapa yang menzahirkan kegembiraannya dengan membesarkan hari kelahiran Rasulullah diberi pahala yang besar kerana Abu Lahab yang kafir, seteru kepada Nabi SAW diringankan azabnya, apatah lagi orang yang muslim. Seperti yang dikatakan oleh Al-Hafiz Nasiruddin ibnu Syamsuddin Ad-Dimasyqi dan Imam Al-Qurra Al-Hafiz Syamsuddin Muhammad Al-Jazri.
ii) Dianjurkan memulia dan membesarkan Nabi SAW dengan mengambil sempena hari kelahirannya. Hari kelahiran Baginda merupakan ‘ Hari Kebesaran Islam ’ dan hari yang mempunyai kelebihan. Diriwayatkan daripada Qatadah Al-Ansari, ‘ Bahawasanya Nabi ditanya tentang berpuasa hari Isnin, berkata Nabi SAW, “ Itulah hari yang dilahirkan aku padanya dan diturunkan kenabian keatas ku.” ( Riwayat Muslim dan lainnya )
iii) Membuat perkara2 kebaikan (difahami daripada memerdekakan Suwaibah, hadis berpuasa hari isnin dan hadis berpuasa hari A’syura yang akan datang ) sempena memuliakan hari kelahiran Nabi SAW seperti berhimpun dengan membaca Al-Qur’an, berselawat, memuji Nabi, bersedekah, menjamu makanan, berbuat baik kepada fakir-miskin dan lain2.
4. Didalam Sahih Bukhari dan Muslim, bahawa Nabi datang ke Madinah dan mendapati kaum Yahudi berpuasa hari A’syura lalu baginda bertanya , mereka menjawab, “ Ianya hari di mana Allah menenggelamkan Fir’aun dan menyelamatkan Musa. Kami berpuasa pada hari ini kerana mensyukuri Allah Ta’ala.” Lalu nabi berkata, “ Kami terlebih utama dengan Musa…”.
Diambil pengertian daripada hadis ini, kita disarankan mensyukuri atas nikmat pemberian Allah pada hari tertentu yang mempunyai kelebihan atau hari yang dilepaskan daripada musibah. Menyambut Maulidurrasul adalah menzahirkan kegembiraan dan mensyukuri nikmat dan rahmat Allah ke atas alam ini. Ini kerana, sebesar2 nikmat yang sempurna dan rahmat ialah lahirnya nabi kita SAW sebagaimana berkata Ibnu Hajar Al-Haitami, Al-Hafiz Ibnu Hajar Assqalani, Sayuti dan lain-lain.
Firman Allah ta’ala, “ Katakanlah kepada kaummu, dengan kurniaan Allah dan rahmatnya , maka dengan demikian itu (kurniaan dan rahmat), hendaklah kamu bergembira dan mensyukurinya.” ( Yunus:58 )
FirmanNya, “Tidaklah kami mengutuskan engkau ya Muhammad melainkan kerana rahmat bagi sekelian alam.” ( Al-Anbiyaa’:107 )
5. Memperingati dan membesarkan Maulidurrasul dengan selawat, membaca kisahnya, merupakan perantaraan kepada mencintai nabi dan mencintai Allah. “ Tidak sempurna iman seseorang daripada kalangan kamu sehingga adalah aku terlebih dikasihinya daripada dirinya, hartanya, anaknya dan sekelian manusia.” ( al-Hadis ).
Firman Allah Ta’ala, “ Katakanlah kepada kaummu, jika sekiranya kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu.” (Ali-Imran:31)
KESIMPULAN
i) Menyambut hari kelahiran Rasulullah disabitkan dengan dalil-dalil syara’.
ii) Disunatkan memperingati maulidurrasul pada bila-bila masa, terlebih utama lagi sempena hari kelahirannya.
iii) Membesarkan Nabi bersempena hari kelahirannya yang merupakan salah satu hari kebesaran Islam.
iv) Menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran atas sebesar-besar nikmat dan rahmat Allah iaitu kelahiran baginda dengan mengerjakan amalan2 kebaikan.
v) Menyambut hari kebesaran ini membawa kepada mencintai nabi dan mencintai Allah.
vi) Mendapat ganjaran yang besar di dunia dan akhirat bagi mereka yang menyambutnya.
Orang yang pertama merayakan Maulid ialah Sultan Ibnu Malik Al-Muzzaffar, seorang wali Allah, raja yang adil, warak, zuhud dan alim. Menghadiri Majlis Maulidnya ulama’2 muktabar dan orang2 salih dengan ketiadaan mengingkarinya, sehinggakan ulama’ besar yang bernama Assyeikh Abu Khatab Ibnu Dihyah telah mengarang bagi sultan itu, kitab Antanwir membicarakan tentang amalan Maulid. (Lihat Al-Hawi Lil Fatawi bagi Sayuti).
Berkata Assakhawi, “Sesungguhnya amalan Maulid berlaku kemudian daripada kurun ketiga iaitu tiga ratus tahun daripada Hijrah, selepas itu sentiasalah umat Islam pada setiap negeri mengamalkannya…….”
Oleh itu, amalan Maulidurrasul ini adalah ijmak muslimin yang tidak diengkari bahkan disokongi oleh ulama’ Ahli Sunnah sejak pertama kali diadakan hingga sekarang. Tidak berhimpun ulama’ dan seluruh muslimin yang sempurna imannya pada kesesatan. Sabda Nabi, “Tidak berhimpun umatku diatas kesesatan.” Sabdanya lagi, “Sesuatu perkara yang dipandang baik oleh muslimin maka ianya di sisi Allah adalah kebaikan.”
DALIL SATU PERSATU AMALAN YANG DILAKUKAN DIDALAM MAULID.
BERHIMPUN DENGAN BERTILAWAH AL-QURAN, BERZIKIR, BERSELAWAT, MEMBACA KISAH NABI DAN MENGADAKAN JAMUAN
1) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, “Bersabda Rasulullah; Tidak berhimpun suatu perhimpunan pada satu majlis di dalam masjid daripada masjid2 Allah, lalu mereka membaca al-Quran dan bertadarus sesama mereka, melainkan turun ke atas mereka ketenangan yang diselubungi rahmat Allah serta dilingkungi para malaikat dan Allah menyebut tentang mereka dikalangan nabi dan malaikat di sisi-Nya .” ( Sahih Muslim ).
2) Bersabda Nabi SAW, “Tidaklah berhimpun satu perhimpunan di dalam suatu majlis lalu mereka tidak berzikir mengingati Allah dan tidak berselawat ke atasku, melainkan kekurangan dan penyesalan ke atas mereka di hari Qiamat.”
3) Firman Allah ta’ala, “Kami ceritakan kepada engkau setiap perkhabaran daripada kisah2
Nabi yang menguatkan hati engkau dengannya dan datang kepada engkau di dalam perkhabaran ini, kebenaran, pengajaran dan peringatan bagi orang yang beriman.” (Hud:120)
4) Meriwayat Imam Ahmad dan Hakim daripada Suhaib, Nabi bersabda, “ Seseorang yang terlebih baik di antara kamu ialah mereka yang menjamu makanan dan menjawab salam.” Berkata al-Iraqi, “ Hadis ini sahih sanadnya .” Meriwayat Turmizi , bahawa sahabat2 nabi tidak bersurai mereka daripada majlis bertilawah al-Quran dan zikir, melainkan selepas menikmati jamuan.
SUNAT BERDIRI KETIKA DIBACAKAN KISAH KELAHIRAN BAGINDA S.A.W.
Disunatkan berdiri ketika dibaca kisah kelahiran Nabi SAW kerana perbuatan berdiri menunjukkan di atas membesarkan baginda, termasuk di dalam nas al-Quran. Telah berdiri Imam Subki bersama-sama orang ramai di Majlis Maulid ketika kisah kelahiran baginda dibacakan. Ulama’ Ahli Sunnah mengatakan sunat dan elok perbuatan ini.
Cara membesar dan memuliakan Nabi SAW semasa hayat baginda atau wafatnya, samada dengan hati atau lisan seperti berselawat, puji2an atau dengan perbuatan iaitu berdiri. Telah disepakati pada adat orang ramai bahawa berdiri itu bertujuan membesarkan seseorang. Berkata Imam Nawawi, “Disunatkan berdiri kepada orang yang hadir iaitu daripada ahli kelebihan dan kemuliaan, sesungguhnya datang hadis-hadis sebagai hujah padanya…….”
SUNAT MEMUJI NABI DENGAN SYAIR
Tidak menjadi kesalahan mengagungkan Nabi SAW dengan melampau2 selagi tidak menganggapnya sebagai tuhan. Allah ta’ala memuji penyair2 yang beriman dan mengasingkan mereka daripada kumpulan penyair yang dicela dengan firmanNya :
1) “…..Melainkan penyair2 yang beriman dan beramal salih serta banyak menyebut Allah………” (Assyua’ra:227)
Telah mentafsir Imam an-Nasafi, “Berzikir mengingati Allah dan bertilawah al-Quran adalah menjadi kebiasaan bagi mereka daripada bersyair. Apabila mereka menyampaikan syair , mereka bersyair pada mentauhid dan memuji Allah, tentang ilmu, peringatan, zuhud, budi pekerti, memuji Rasulullah dan sahabat serta orang2 salih dan seumpamanya.”
2) Mengeluar Bukhari di dalam `Al-Adab Al-Mufrad’ dan Thabarani di dalam `Al-Ausath’ daripada hadis marfu’ Abdullah Ibnu Omar, “Syair itu menempati percakapan, maka syair yang baik seperti percakapan yang baik dan syair yang keji seperti percakapan yang keji..”
3) Meriwayat Thabarani, bahawa ketika Nabi s.a.w. memasuki Madinah sekembalinya daripada perang Tabuk, berkata Ibnu Abbas, “Ya Rasulullah ! Adakah memberi keizinan kepada aku memuji engkau ? Bersabda Nabi, “Katakanlah ! Tidak akan mensadur Allah mulut engkau,” lalu ia memuji baginda dengan qasidah syair…..
Menyebut Mawardi di dalam al-Hawi dan Ruyani di dalam al-Bahri, bahawa syair terbahagi kepada ; haram, harus dan sunat. Syair yang disunatkan itu dua bahagian. Pertama, syair yang menakuti dan memperingati huru-hara akhirat. Kedua, syair yang menekankan budi pekerti yang baik. Di antara syair yang disunatkan ialah memuji para nabi, sahabat, ahli taqwa dan seumpamanya.
Dikeluarkan Oleh:
Pelajar Pondok Pasir Tumbuh,
Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.
Tarikh: 31 Mei 2001 bersamaan
8 Rabiul Awwal 1422 H.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar